Tema 2 : Pemberdayaan Manusia dan Misi Ketamadunannya

Tamadun sebagai realisasi misi kekhalifahan tidak terlepas dari amanah ketuhanan. Manusia sebagai faktor yang paling aktif harus mampu memanfaatkan seluruh potensi kurnia Ilahi untuk membina tamadun yang diredhai Allah dan sekaligus bermanfaat buat manusia sejagat. Dalam kaitan ini ada dua isu yang perlu disorot: manusia yang berdaya dan tamadun yang bermanfaat

Pemberdayaan Manusia

Manusia hanya mampu melaksanakan misi pentamadunnya jika seluruh potensi kemanusiaannya berkembang secara utuh dan seimbang. Hanya manusia yang merdeka dan perkasa mampu mencipta dan mengkarya sesuatu yang besar dan bermakna. Mereka yang berjiwa hamba dan lemah tidak akan mampu menjadi bangsa yang berprestasi dan menyumbangkansesuatu yang bererti kepada dunia.

Memang tidak ada apa-apa yang diharapkan dari bangsa yang lemah pengidap sindrom slave mentality(berminda dan berjiwa hamba). Kerana itu Tuhan membandingkan berhala-berhala yang serba tak berdaya itu dengan hamba yang lemah serba serbi- tidak memiliki apap-apa dan tidak mampu berbuat apa-apa

Allah membuat perumpamaan dengan seorang hamba sahaya yang dimiliki, yang tidak dapat bertindak terhadap sesuatu pun dan seorang yang Kami beri rezeki yanh baik dari Kami, lalu dia menafkahkan sebahagian daripada rezeki itu secara sembunyi dan secara terang-terangan, adakah mereka itu sama? Segala pujian hanya bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. (Al-Nahl:75)

Sifat ‘abdan mamlukan(hamba abdi yang dimiliki dan dikuasai orang lain) biasanya terdapat pada individu,tetapi tidak mustahil terdapat pada sesuatu bangsa. Tidak sedikit bangsa yang menerima nasib ‘abdan mamlukan yang kehilangan upaya (la yaqdiru ‘ala shay’)apabila mereka kehilangan status dan hak sebagai free citizens (warganegara/rakyat yang bebas dan merdeka), mreka ditindas sehingga hilanh hak sebagai manusia dan rakyat, mereka dikonkong sehingga kehilangan segala kebebasan-kebebasan berfikir,bersuara dan membuat keputusan. Dalam segala hal mereka harus mengikut telunjuk pihak yang menguasai mereka jika tidak, mereka akan dihukum- bukan dengan undang-undang yang adil tetapi dengan selera dan kuasa sewenang-wenangnya. Mereka dihukum bukan kerana bersalah tetapi kerana melawan.

Demikianlah peri keadaan bangsa yang telah menjadi ‘abdan mamlukan. Kerbau dicucuk hidung yang boleh diseret kemana sahaja, tanpa kemampuan berbuat apa pun selain patuh kerana fighting spirit atau semangat juangnya telah sirna, idealismenya telah mati. Apalah yang diharapkan dari bangsa yang telah lumpuh, la yaqdiru’alashay’ tidak berdaya lagi berbuat apa-apa. Andainya mereka mahu difungsikan semula sebagai manusia pelaksana misi pentamadunan, mereka perlu menjalani proses pemulihan-pembebasan dan pemberdayaan (empowerment).

Untuk itu, mereka memerlukan pimpinan berkualiti al-qawiyy al-amin(kuat dan amanah) seperti Nabi Musa ‘a.s yang mendedikasikan sepnjang tempoh kepimpinannya kepada agenda besar pemerkasaan bangsa ‘abdan mamlukan(bani israil). Memang misi utama para rasul adalah pembebasan dan pemerkasaan umat. Dalam konteks Nabi Musa, misi tersebut dinyatakan lewat perintah Tuhan “…..hendaklah kamu keluarkan(bebaskan) kaummu dari kegelapan(untuk dibimbing) kepada cahaya(kebenaran)”

Dalam rangaka memulihkan status dan potensi kemanusiaan kaumnya yang telah lumpuh menjadi ‘abdan mamlukan itu Nabi Musa melaksanakan agenda mnanamkan keyakinan di kalangan kaumnya bahawa mereka sebenarnya boleh merubah kehidupan hina sebagai hamba abdi yang mereka alami selama ini.

Agenda meyakinkan bangsa(dengan harapan perubahan nasib) diikuti dengan agenda berikutnya iaitu membina kehormatan dan maruah diri(self respest) sebagai makhluk mulia yang setaraf dengan manusia lain. Seterusnya dilanjutkan pula dengan agenda membina sikap percaya diri(self confidence).

Dari paparan liku-liku sejarah perjuangan Nabi Musa, ternyata misi membangun bangsa bukan suatu yang mudah. Selain memerlukan kemahiran, ia memerlukan dedikasi dan kesabaran. Dengan tongkat mukjizatnya Nabi Musa ‘a.s dapat membelah lautan sekelip mata.tetapi dengan tongkat yang sama, baginda tidak dapat merubah bangsanya yang berminda dan berjiwa hamba. Membina bangsa adalah perjuangan yang memakan masa.

Misi tersebut hanya terlaksana setelah satu generasi Bani isarail berlalu. Generasi pertama hanya dapat dibebaskan secara fizik dan geografis dari cengkaman sistem perhambaan(dengan membawa mereka keluar dari Mesir), namun jiwa hamba dan slave mentality mereka belum dapat diubah.

Generasi yang telah mengalami kematian idealisme dan kehilangan daya juang atau fighting spirit itu musnah dalam kesesatan yang berlarutan selama empat puluh tahun di padang pasir. Generasi yang menjadi adalah generasi baru yang terdidik dalam bimbingan nabawi dan dibesarkan dalam persekitaran fizikal dan budaya yang bebas di tengah kehidupan perit padang pasir yang sentiasa mencabar daya tahan dan daya juang.

‘Aqidah : Asas Pemerkasaan Bangsa

Membangun bangsa harus berlandaskan prinsip-prinsip dan nilai wwahyu Ilahi. Tanpa landasan tersebut, bangsa perkasa akan mudah telanjur menjadi angkuhlalu maharajalela, memangsakan manusia,merosak dunia dan malah menderhakai Pencipta; sikap percaya diri yang tidak terkawal akan menjadikannya over confidence , mengagumi diri dan terpedaya dengan kehebatan diri sendiri. Asas utama pembangunan bangsa adalah aqidah tawhidik dengan segala implikasi liberatif-transformatifnya. Bangsa menjadi kuat kerana mengetahui erti kurnia Ilahi dan meyakini hubungan langsungnya dengan Tuhan Yang Maha Perkasa, penentu segalanya. 

(Surah kahfi : 32-43)

-Ayat-ayat tersebut tentang dua watak manusia yang beriman dan yang tidak beriman dalam konteks menyikapi isu kekuatan dan kekuasaan. Tanpa aqidah yang benar manusia menjadi rosak apalagi mendapat kekayaan dan krkuasaan.

-Tidak tahu diri – lupa asal usul (dari tanah dan air mani) kerana terpedaya dengan kehebatan diri. Kurnia Tuhan pada hakikatnya adalah amanah dan ujiian dirasakan sebagai milik mutlaknya dan hasil dari usaha dan kehebatan dirinya, lalu mengagumi diri dan prestatsinya. Manusia lupa daratan menggunakan kuasa dan kekayaan sesuka hati dan seenak seleranya tanpa berasa akan disoal dan ke mana ia dibelanjakan.

-Limpahan kekayaan dan lekuatan dukungan pengikut-pengikut menjadikannya begitu angkuh lalu menghina dan memperlekeh mereka yang tidak memiliki (“……hartaku  lebih banyak daripada hartamu dan pengikutku lebih kuat!”)

-Tertipu dengan nilai-nilai palsu dengan menjadikan kekayaan dan kekuatan  dukungan pengikut sebagai kayu ukur martabat seseorang. Kerana itu obsesinya tertumpu kepada usaha memperkukuh kuasa, mengaut kekayaan dan memperbanyak pengikut yang disangka dapat melindungi segalanya. Dengan kekayaannya ia dapat membeli apa sahaja,siapa dan berapa sahaja. Pengikut-pengikutnya yang ramai dapat dikerah melakukan apa sahaja di mana dan bila-bila sahaja kerana orang-oramgnya memang ada dimana mana. Demikianlah pola fikir mereka yang terlalu percaya kepada kekuatan ekonomi dan sumber daya manusia. Mereka terlalu bergantung kepada jumlah besar golongan pakar dan profesional serta pekerja yang mahir sebagai jaminan survival dan keungglan.

-Kehidupan materialistik yang serba benda telah membutakannya dari hakikat ghaybiyyat termasuk hari kiamat dan kehidupan ukhrawi. Kerana itu ia tidak takut melakukan ape jua jenis kejahatan dari sekecil-kecil hingga yang sebesar-besarnya. Dengan kekuatan ekonomi dan sumber daya manusia segala malapetaka dapat dielak, semua projeknya- pertaniannya, perindustrian dan lain-lain akan tetap selamat terpelihara malah kiamat pun akan dicegahnya. Meskipun andainya kiamat berlaku dan di panggil menhadap Tuhan, ia berkeyakinan dalam kehidupan ukhrawinya nanti ia akan mendapat ganti kekayaan yang berganda. Kerana terpedaya dengan kemampuannya ketika di dunia, mendapat semua yang dihajat, seolah-olah dia sendirilah yang mementukan segalanya mengikut pilihan dan kemampuan, lalu ia berfikir andainya kehidupan ukhrawi itu ada di sana pun ia akan dapat berbuat semahunya seperti di dunia kini. Ia lupa tentang kudrat dan iradat Tuhan sebagai penentu yang mutlak mengatasi segala kekuatan.

-Tidak menyedari hakikat bahawa sikap dan tindak tanduk bodoh sombongnya ati sebenarnya memakan diri, suatu penganiyaan terhadap diri sendiri di samping merosakkan orang lain juga. Pada hakikatnya ia telah menzalimi dirinya dengan membiarkan dan merelakan dirinya terpedaya oleh kerapuhan kudrat manusia dan ditipu oleh kemurahan nilai barangan dunia.

Demikianlah pemerian Al-Qur’an tentang manusia yang terjerumus ke dalam jurang kemabukan kuasa da keracunan dunia akibat kehilangan asas aqidah dan petunjuk syariah. Watak manusia rosak itu lalu dipertentangkan dengan watak mukmin yang memiliki kekuatan peribadi dengan ciri-ciri :

-Kemuliaan diri kerana meyakini bahawa ia sebenarnya memiliki suatu yang amat berharga iaitu aqidah atau iman yang nilainya mengatasi segalanya termasuk kekayaan dan kekuasaan duniawi. Keyakinan itulah yang menjadikannya tetap berasa mulia da percaya diri meskipun dihina dan diperlekeh oleh orang jahil tentang nilai-nilai hakiki.

-Tidak memperlihatkan kekaguman terhadap kekayaan dan kekuasaan yang dimiliki orang lain. Ia tetap bersyukur dengan apa yang dimilikinya biarpun cuma sedikit, mungkin memang sebanyak itulah yang terbaik baginya. Ia sama sekali tidak berasa rendah diri dengan kurnia yang sedikit itu kerana ia tahu kurnia Allah sama-sama amanah dan ujian. Sebaliknya dengan sikap penuh percaya diri ia tampil memberikan peringatan kepada mereka yang lupa daratan dan terpedaya dengan nilai-nilai palsu,rendah dan murah.

-Rela(redha) dengan kurnia seadanya kerana yakin dengan janji Ilahi tentang kurnia ukhrawi yang lebih baik dan abadi buat mereka yang beriman dan beramal soleh.

-Kesedaran tentang nilai-nilai hakiki menyelamatkankanya dari sebarang kebingingan dan kekacauan nilai. Dengan demikian, ia selamanya dapat mempersepsikan sesuatu tepat sebagaimana adanya dan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Itulah yang namanya hikmah, kurnia Ilahi yang paling tinggi dan bererti.

Tamadun Bermanfaat

Manusia adalah penerima kurnia Ilahi yang paling banyak dan paling sempurna sesuai dengan martabatnya sebagai makhluk mulia pelaksana mandat kekhalifahan. Segala kurnia itu harus dipelihara dan dimanfaatkan sebagai amanah ketuhanan untuk membangun tamadun yang diredhai-Nya, tamadun yang bercirikan manfaat bagi manusia sejagat sebagai aktualisasi objektif rahmatan li al-‘aamin(rahmat yang meratai alam seisinya). Manfaat (bagi kemanusiaan sejagat  ) adalah kata kunci yang mengimplikasikan keabadian dan kelangsungan sebagaimana yang di isyaratkan dalam firman Ilahi.

Leave a comment »

NOTA IRINGAN

1.0 xxx

2.0 yyy

Leave a comment »

Tema 1 : Manusia : Jati Diri, Fungsi dan Misinya Menurut Perspektif Al-Qur’an

Tamadun kebendaan yang sedang mengglobal ketika ini telah mencetuskan krisis serius yang berwujud dalam bentuk kemelut kemanusiaan. Gejala kemabukan teknologi (technological intoxication) telah mengakibatkan penghakisan ciri dan nilai kemanusiaan. Manusia rata-rata sedang mengalami proses dehumanisasi akhirnya membawa kepada tragedi kehilangan jati diri, kehilangan fungsi dan kehilangan misi kemanusiaannya. Suatu tranformasi kemanusiaan sedang berlaku, proses merubah manusia sama ada menjadi robot atau haiwan.

 

Dwifungsi Manusia : Kehambaan dan Kekhalifahan

Tuhan mencipta manusia untuk merealisasikan dua objektif besar: mengabdikan Ilahi dan manjadi khalifah di muka bumi.

Dan (ingatlah!) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat Kepada-Ku  (Al-Dhariyat:56)

Fungsi kehambaan (menyembah dan beribadah) dilaksanakan dengan mengabdi Ilahi dalam kepatuhan dan ketaatan yang semutlaknya, dengan penuh rasa cinta kepada-Nya dan penuh rasa kagum terhadap keagungan-Nya. Bagaimanapun ini hanya dapat termasuk hak-hak dan tuntutan-tuntutan-Nya. Kerana itu Ibn ‘Abbas manafsirkan kata liya’rifuni (mengenal-Ku).

Dan(ingatlah!) ketika Tuahnmu berfirman kepada malaikat, “sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya(tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata):”Adakah Engkau(ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan buat bencana dan menumpahkan darah(berbunih-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman,” sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahui.”(30). Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman, “terangkanlah kepada Aku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar.”(31). Malaikat itu menjawab.”Maha Suci Engkau(ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jualah yang amat mengetahui, lagi amat bijaksana.”(32) (Al-Baqarah:30-32)

Penciptaan manusia dan pengangkatannya sebagai khalifah di muka bumi pada hakikatnya membawa implikasi ketamadunan. Dengan kata lain manusia dengan status dan fungsi kekhalifahannya adalah pelaksana misi pentamadunan atau civilizing mission. Dalam kaitan ini ada tiga komponen pemeran penting pembentukan tamadun iaitu: manusia (al-insan), jagat raya/bumi(al-kawn) dan kehidupan(al-hayah). Di antara ketiga-tiga komponen tersebut manusialah komponen yang paling aktif, paling penting dan paling menentukan. Kerosakan manusialah yang selalunya mengakibatkan krisis dan bencana ketamadunan.

Kemelut Kemanusiaan: Yang Angkuh dan Yang Lumpuh

Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.(4). Dan Kami hendak memberi kurnia epada orang yang tertindas (di bumi) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin danmenjadi orang yang mewarisi bumi.(5). Dan akan kami teguhkan kedudukan mereka di bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir’aun dan Haman bersama tenteranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu.(6). (Al-Qasas: 4-6)

Ayat-ayat tersebut merujuk babak hitam dalam sejarah Mesir ketika dirajai oleh Fir’aun, pemerintah terror yang berleluasa memeras dan menindas rakyat lemah, raja mabuk kuasa yang lupa diri dalam keangkuhan dan kesombongan yang memuncak pada sikap mendakwa sebagai “tuhan”. Fir’aun membina kekuasaanya menerusi dasar divide and rule, pecah dan perintah sebagaimana amalan kuasa-kuasa penjajah zalim sepanjang zaman.

Rakyat sengaja dipecah-pecah sehingga menjadi berpuak-puak, dikelompokkan dalam pelbagai bidang pekerjaan, masing-masing dibebani tugas memberikan khidmat yang diperlukan Fir’aun: pertanian, pembinaan dan sebagainya. Sementara itu dikalangan merekan disemaikan perasaan saling curiga, cemburu, benci dan dendam sehingga mereka sentiasa dalam sengketa yang berlarutan dan permusuhan yang berpanjangan. Perpecahan tersebut memang direkayasa. Demi memastikan survival kekuasaannya rakyat harus terus diadu-domba, jangan sampai mereka bersatu.

Selain dipecah dan dibelah, ada pila kelompok tertentu(Bani Israil) yang ditindas, diperas, dipulas dan dilumpuhkan dengan pelbagai cara dan bentuk kekejaman termasuk membunuh setiap anak lelaki yang lahir, semuanya dihabisi tanpa kecuali sehingga yang tersisa hanya melumpuh dan menghina golongan lemah. Operasi pembunuhan kejam tersebut dilatari oleh ketakutan ekoran maklumat tukang ramal bahawa seorang kanak-kanak lelaki Bani Israil akan lahir dan kemudiannya akan bangkit menhancurkan kekasaan Fir’aun.

Walau apa pun “kemajuan” dan “pmbangunan” yang dilakukan oleh Fir’aun. Ia tetap seorang perosak; “sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan”. Demikianlah kedudukannya di sisi Allah kerana sikap angkuhnya yang melampau-lampau, kerana perilaku zalimnya yang denganleluasa membunuh ribiaun anak-anak tidak berdosa, dengan sewenang-wenanagnya melakukan penyiksaan secara brutal terhadap mangsa-mangsa yang tidak berdaya sehingga rakyat hidup terdera dalam cengkaman budaya takut.

Keadaan seperti nin berlarutan entah berapa lama shingga seolah-olah telah diterima sebagai suatu yang biasa dan tidak ada harapan untuk berubah. Tetapi sejarah boleh berubah apabila Tuhan menghendakinya. Pada hakikatnya sejarah adalah jelmaan atau aktualisasi iradah Ilahiyyah atau kehendak Tuhan. Demikianlah yang telah terjadi dalam sejarah Mesir yang berubah dengan kuasa Tuhan mengangkat dan memperkasa mereka selma ini dilumpuhkan habis-habisan. Sementara itu Fir’aun dan konco-konconya dihancurkan melalui cara yang khas, dengan mata terbuka mereka menyaksikan terjadinya peristiwa penghacuran tepat seperti yang mereka bayangkan dan khuatirkan selama ini.

Dilihat dari sudut jenis manusia yang terlibat dalam sejarah tersebut jelas terdapatnya dua golongan dengan watak yang secara diametrikal bertentangan. Di satu pihak Fir’aun dan suku-sakatnya yang angkuh(lupa diri) dan di pihak lain Bani Israil yang lumpuh (hina dan rendah diri).

Watak-watak manusia seperti itulah yang memungkinkan berleluasanya fenomena fasad(kerosakan) yang dapat pula ditafsirkan sebagai krisis ketamadunan. Jalan keluar dari krisis dan bencana seperti itu seperti dirumuskan oleh Dr. Sa’id Ramadhan al-Butiy ialah dengan proses transformasi watak kedua-dua golongan tersebut. Katanya, “…..kedua-duanya harus kembali dan menginsafi hakikat diri insaninya, pangkal(asal usul) kejadiannya dan meremdah, sementara yang hina akan terangkat martabatnya setelah mendapatkan semula harga dirinya. Hanya setelah berlaku transformasi watak (jiwa dan minda) sedemikian itu barulah kedua-duanya dapat dipadukan dan digembleng dalam kerjasama membangun masyarakat dan tamadun insani yang sejahtera.”

Manusia : Kualitinya Sebagai sumber Daya

Dan Allah memberikan satu misal perbandingan :dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semula jadinya, tidak dapat menyatakan apa yang difikirkan dan tidak dapat pula mendengar apa yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya;ke mana saja yang diarahkan pergi oleh penjaganya, tak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; adakah dia(yang sedemikian sifatnya) sama seperti orang(yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan dan ia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus(jalan yang benar?).(76) (Al-Nahl:76)

Sebagai khalifah Allah, penanggungjawab misi pembangunan dan pentamadunan (‘imarat al-ard) manusia diciptakan lengkap dengan potensi sebagai sumber daya. Atas asas itu kualiti manusia dinilai dari segi kemampuannya menyumbang. Dengan kata lain kualiti manusia ditentukan oleh kegunaan atau manfaatnya kepada orang lain.

Ayat al-nahl di atas adalah paparan tentang perbezaan antara manusia yang berkualiti dan yang tidak berkualiti. Yang pertama disebut adalah manusia yang kehilangan kualiti. Ia dilambangkan menerusi watak manusia yang tidak proaktif, gagal menjadi penyumbang(contributor). Ia hanya manjadi manusia pengguna (consumer) dan seterusnya hanya menjadi beban kepada orang lain. Manusia berkualiti adalah sebaliknya: benar,proaktif dan bermanfaat kepada orang lain.

Manusia : Antara Kehinaan Asal usul da Kurnia Ketinggian Martabat

Manusia yang mampu melaksanakan mandat kekhalifahan dan sekaligus misi pentamadunan adalah manusia yang seimbang, menginsafi hakikat kerendahan asal usul kejadiannya(tanah/air mani/segumpal darah) dan menyedari ketinggian martabat kurniaan Tuhan (akal,ilmu,petunjuk dll).

Al-Qur’an yang tema utamanya manusia, memulakan bicara(dari segi urutan kronologi penurunannya) dengan ayat pertama yang mengenalkan kepada manusia tentang hakikat jati diri keinsanannya.

“bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Ynag Menciptakan. Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah” (Al-‘Alaq:1-2)

Demikianlah dimensi pertama jati diri insani (kehinaan/kerendahan). Dalam ayat-ayat yang diturunkan kemudiannya diserlahkan pula dimensi kedua yang berupa ketinggian martabat kurniaan Tuahn.

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam. Kami angkat mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. (Al-Isra’:70)

Dengan kurnia pelbagai kelebihan itulah manusia dapat melaksanakan amanah kekhalifahan dan misi pentamadunan. Memang manusia perlu menyedari kelebihan dirinya. Dengan potensi untuk membangun, memakmur dan mentamadunkan alam. Namun ia tidak menjadi angkuh dan bongkak biar setinggi mana pun prestasi dan kemampuannya kerana ia sedar bahawa sagala kelebihan yang dimilikinya bukan bahagian dari asal kejadian dirinya. Sebaliknya semuanya adalah limpah anugerah Tuhan. Tanpa kurnia Tuhan ia berkeadaan dalam bentuk kejadian asalnya: tanah, air mani dan segumpal darah yang serba rendah. 

Leave a comment »

PERMULAAN SIRI BARU KULIAH TAFSIR TEMATIK

Assalamualaikum wrt. wbh.

Bermula dari Khamis 14 Oktober 2010, Kuliah Tafsir Tematik bagi Komuniti Jemputan Khusus SURADA disambung kembali dengan menggunakan format baru. Mulai siri ini dan berikutnya Kitab Tafsir …. yang dihasilkan oleh Ustaz Siddiq Fadhil akan di gunakan sebagai rujukan sepanjang pengajian. Teks Kitab boleh di dapati dari Blog ini  dan disarankan supaya semua “murid”  mencetak sendiri Nota yang disalin dari kitab berkenaan dan membawanya ke Kuliah. Siri Kuliah akan diadakan setiap dua minggu sekali Khamis jam 9.00 malam… Kuliah Berikutnya adalah pada 21 hb Oktober 2010 dan 28 hb Oktober 2010. Kuliah Bulan November akan dimaklumkan nanti.

Team Koordinator

Leave a comment »

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!

Comments (1) »